Amalkan Gaya Hidup Sihat – Matikan Sebentar
Telefon Pintar Anda
Gajet
Teknologi atau inovasi baru yang dicipta pada
dasarnya adalah bertujuan untuk membantu memudahkan urusan kehidupan seharian
kita. Teknologi yang meningkat naik ketika ini adalah telefon pintar, dan
dijangka akan melebihi jualan PC pada tahun 2015 kelak. Salah satu faktor yang
menjadikan telefon pintar (dan juga tablet) sering digunakan adalah kerana ciri
– cirinya yang ‘ubiquitous’ atau mudah digunakan di mana – mana sahaja. Siapa
yang tidak pernah membawa telefon pintarnya bersama ke dalam tandas sambil menguruskan
‘hajat’ masing – masing? Mungkin sekarang anda sudah tidak lagi beratur panjang
untuk membeli tiket wayang dan hanya tersenyum sinis melihat orang lain gigih
berusaha untuk mendapatkan tiket secara traditional.
Namun, saya tidak boleh nafikan, sesetengah
perkara yang baik itu akan ada buruknya. Begitulah juga mengenai telefon pintar
yang kita guna hari demi hari. Siapa sangka telefon pintar yang kita gunakan
dengan secara pintarnya telah membuatkan kita semakin tertekan dan penat? Dan
siapa sangka yang teknologi memudahkan ini membuatkan kita semakin segan untuk
berbicara secara nyata dengan kenalan kita?
Tekanan Perasaan
Sudah ada kajian dilakukan bagi
menghubung-kaitkan antara tahap tekanan dengan penggunaan telefon pintar. Hasil
kajian mendapati pengguna menjadi tertekan kerana selalu memeriksa akaun email
dan juga laman sosial. Bagi yang mereka terlalu obses dengan gajet mereka akan
mula mendapat simptom “phantom vibrations” – merasakan yang peranti mereka
sedang ‘vibrate’ tetapi perkara itu tidak berlaku.
Kajian yang dijalankan oleh Richard Balding
dari Universiti Worcester juga menyatakan bahawa pengguna (dalam kajian
berkenaan merujuk kepada pekerja) menggunakan telefon pintar adalah bertujuan
untuk memastikan produktiviti mereka sentiasa tinggi, dah akhirnya menyebabkan
mereka sentiasa memeriksa email dan laman sosial mereka. Semakin kerap
memeriksa, mereka akan menjadi semakin tertekan.
Ada juga situasi dimana kita sebaik sahaja log
off dari komputer, mencapai telefon pintar dan log in kembali laman sosial
tadi. Kemudian apabila kita hendak tidur, masih lagi membaca pelbagai ceritera
di Twitter atau Facebook. Walaupun cerita berkenaan tidak memberi sebarang
impak besar yang memerlukan perhatian segera, kita masih cekal menekan butang
refresh. Lalu kita berkata kepada diri sendiri “10 minit lagi, janji!”, sejam
sudah berlalu masih lagi cekal.
Realiti
Bagaimana pula dengan kesan penggunaan telefon
pintar terhadap kehidupan sosial kita seharian? Semakin baikkah? Semakin
harmonikah hubungan realiti kita dengan kenalan kita? Atau mungkin kita diam
seribu bahasa apabila bertemu.
Sering kali saya dengar ‘pengumuman khidmat
masyarakat’ dari stesen radio tempatan, yang menceritakan situasi komunikasi
sekumpulan kenalan yang berada di tempat yang sama dan duduk semeja, berbicara
menggunakan twitter sebagai medium perantara. Ini adalah tidak sihat.
Ada juga dari kalangan kita, di Twitter,
Facebook atau di WhatsApp, petah berbicara mengemukakan pelbagai pendapat namun
apabila berada di alam realiti atau secara berhadapan, lidah kelu, hanya hati
berbicara. Jika adapun yang berbicara, sesetengah dari kita masih lagi memberi
fokus kepada laman sosial masing-masing. Perjumpaan sosial yang sepatutnya
ceria dan bermakna menjadi dull kerana ramai yang ‘tertunduk malu’ ketika
berbicara.
Akhirnya
Dalam dunia yang semakin cepat ‘kitarannya’,
sudah tentu kita berasa tertekan untuk mengejarnya. Kita tidak boleh elak dan
kita terpaksa menghadapinya. Siang kita penat menguruskan tanggungjawab sebagai
pekerja (dan juga sebagai majikan) dan pada malamnya kita penat membaca
pelbagai kisah kehidupan dunia. Waktu yang sepatunya kita berehat digunakan
untuk menambah tekanan perasaan. Akhirnya ia akan memberi impak kepada
produktiviti kita keesokan hari.
Untuk itu, ayuh, kita amalkan kehidupan yang
sihat. Luangkanlah masa yang ada sebaiknya untuk bermesra dengan rakan-rakan.
Gunakanlah mulut kita untuk berkata – berkata dan bergelak ketawa. Jangan
jadikan telefon pintar sebagai penghalang untuk anda merasai keseronokan berjumpa
rakan – rakan.
Sekali sekala, mari kita rasa kembali nikmat
beratur panjang dengan orang yang tersayang untuk membeli tiket wayang, dan
menikmati pengurusan ‘hajat’ ditandas.
Jangan lupa malam ini, apabila anda sudah
mengantuk, letaklah telefon pintar anda itu ditepi, pejamkan mata, dan fikirkan
mana yang lebih seronok – senyum seorang diri di hadapan telefon anda atau
bergembira bersama rakan menikmati kehidupan? Untuk mencari jawapan ini, jangan
pula anda capai kembali telefon pintar anda
.
Semoga kita lebih sihat secara mental dan
fizikal.
SUMBER : http://amanz.my
SUMBER : http://amanz.my
No comments:
Post a Comment