Wednesday, October 31, 2012

LATIP DAHAGA


Sudah lebih satu jam Latip mencari restoran yang beroperasi. Nasibnya baik kerana ada satu kedai yang masih beroperasi. Latip memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Ketika melintas, Latip perhatikan ramai mata yang tertumpu padanya. Maklumlah, bertubuh sasa, kacak dan bergaya, tali pinggang putih dan kasut berkilat baru lepas ‘kiwi’.

Dalam tak sedar, Latip terpaksa mengawal langkah. Melintas jalan dengan bergaya. Rambut dan baju mengerbang ditiup angin. Bagaikan seorang hero dia melangkah masuk ke kedai tersebut. Kerusi ditarik tanpa ada bunyi. Tertib gaya duduk beliau amat dijaga. 

Ketika ini pelanggan lain kelihatan berbisik- bisik. Mungkin ada yang memuji keterampilan dan mungkin ada yang hairan siapakah Latip sebenarnya. Datang seorang lelaki 20-an bertanyakan apa yang Latip mahu pesan.

"Encik nak minum apa?"

"Mestilah nak minum air. Takkan aku nak minum nasi kot. Kah...kah...kah...kah...!!!"

Tak. Itu hanya kata-kata Latip di dalam hati. Mana mungkin seorang berjiwa kacak bergaya dan hero membuat lawak bangang sebegitu rupa. Sambil memandang serius kepada lelaki tersebut, Latip memesan minuman.

"Buatkan saya Teh Ais kurang manis", ujar Latip sopan serta santun dan sedikit tegas.

"Makan Encik?"

"Eh, engkau ni harimau ke sampai nak makan aku?"

Ya. Sekali lagi hati kecil Latip berkata- kata. Lawak bangang sebegini rupa hanyalah budak sekolah rendah saja yang faham maksudnya.

"Tak apa, saya nak minum saja."

Kaca mata hitam berjenama mahal Latip tanggalkan. Latip sendiri binggung memikirkan mengapa beliau memakai kaca mata hitam pada malam hari. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan gaya di siang hari.

Dia mengeluarkan telefon bimbit keluaran Korea Selatan. Sambil menekan- nekan skrin, dari ekor matanya dapat rasakan ada beberapa mulut terlopong melihat Latip menggunakan telefon bimbit canggih tersebut.
Lebih kurang dua minit, lelaki 20-an tadi kembali dengan segelas Teh Ais untuk Latip. Latip tersenyum lebar. Akhirnya dia dapat juga membasahkan tekak menghilangkan dahaga. Diletakkan telefon bimbit di dalam poket seluarnya kemudian disedutnya Teh Ais itu sedikit demi sedikit.

Srooottt....srrootttt....sroootttt....

Bunyi Latip menyedut air menyebabkan sekali lagi beliau menjadi perhatian pelanggan lain. Dengan hanya beberapa kali sedut, kini yang tinggal hanyalah saki baki ketulan ais di dalam gelas. Latip puas. Senyuman manis tak lekang dari bibir merah delimanya.

"Dik, kira dik", sambil mengeluarkan dompet dari poket. Penuh gaya!
Dunia ini adil. Kalau Latip boleh mengeluarkan kata-kata dari hati, begitu juga dengan lelaki 20-an itu tadi.

"Suruh kira pula. Ingat ini sekolah ke?"

"Satu ringgit tiga puluh sen, Encik." Jawab pemuda tadi dengan jujur ikhlas dan tawaduk.

Latip bukan sahaja bertubuh sasa, kacak dan bergaya, tali pinggang putih dan kasut berkilat baru lepas ‘kiwi’. Dia juga sebenarnya seorang yang pemurah. Beliau mengeluarkan RM1 dari dompet dan RM0.50 dari poket.

“Nah RM1.50....simpan bakinya.”

Sekali lagi terlopong mulut semua pelanggan mendengar kata- kata Latip dan sekali lagi mereka berbisik sesama sendiri. Bukan kerana sifat pemurah Latip, tetapi kagum dengan cara Latip mengucapkan ‘simpan bakinya’. Memang amat bergaya!

Latip bangun dan melangkah cergas menuju ke keretanya. Seperti mana beliau mengawal langkah ketika baru sampai tadi, begitu jugalah langkahnya ketika mahu pulang. Rambut dan baju mengerbang ditiup angin. Bagaikan seorang hero dia melangkah masuk ke dalam kereta.

Latip amat lega kerana beliau dapat menghilangkan dahaganya pada malam itu.

2 comments:

  1. Gaya bahasa Latip mmg superb. Teruskan berkarya.Aku mau sambungan cita Latip. More updates please. Lepas ni Latip p jumpa marka dia ka pulak?

    ReplyDelete