Fox
40
Oleh ALIAS ISMAIL (Utusan Malaysia 10/1/10)
STADIUM Old Trafford bergegar dengan sorakan
penonton tatkala bola rembatan Dimitar Berbatov diselamatkan penjaga gol Kenyir
Bersatu - R. Arumugam. Alex Ferguson bangkit dari tempat duduk. Dengan lantang
dia memaki hamun pengadil terkenal EPL - Mark Clattenberg.
Puluhan ribu manusia yang berbaju merah
menyokongnya sambil mengacah-acah tangan dengan ganas ke arah penyokong pasukan
lawan yang berbaju kuning emas.
Lelaki yang mendapat gelaran Sir daripada Ratu
England itu mendakwa penjaga gol Kenyir Bersatu menampan bola di luar kota
penalti sambil kakinya mencangkuk betis Dimitar Berbatov yang sudahpun berada
dalam kawasan itu. Alex Ferguson mahu Red Devils diberi sepakan penalti dan R.
Arumugam dikenakan kad merah. Bantahan Alex Ferguson langsung tidak diendahkan
pengadil yang berdiri hanya kira-kira empat meter dari kawasan insiden dan
nampak apa yang berlaku dengan jelas.
Lelaki yang terkenal sebagai pembuli pengadil
itu kembali ke tempat duduk dengan muka merah padam sambil mengunyah gula-gula
getah. Dia bimbang satu lagi keputusan upset berlaku dan Red Devils pasukan
terbaru yang menjadi mangsa Kenyir Bersatu. Tewas kepada pasukan kerdil dari
benua Asia sudah tentu akan mencalarkan reputasinya.
Perlawanan akhir bola sepak Juara Kelab Dunia
Impian baru saja melewati minit ke-7. Kedudukan masih 0-0. Statistik perlawanan
menunjukkan bahawa Kenyir Bersatu sedikit di depan dari segi penguasaan bola.
Bersama-sama Bakri Ibni, Shukor Salleh yang berasal dari Pulau Mutiara dapat
menggerakkan bahagian tengah dengan baik. Di bahagian pertahanan, berdiri
dengan kukuh Soh Chin Aun dan rakan-rakannya termasuklah Santokh Singh.
Kenyir Bersatu menggunakan formasi 4-2-4.
Bahagian serangan dibarisi oleh striker kembar - Abdul Ghani Minhad dan Mokhtar
Dahari. Beberapa kali Mokhtar yang mendapat jolokan Supermokh dan bertubuh sasa
itu berjaya memperdayakan Rio Ferdinand sebelum melepaskan rembatan padu namun
Edwin Van De Sar masih kebal di gawangnya.
Red Devils pula tidak berkurangan bisanya.
Biarpun tanpa kelibat Christiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid, pasukan
itu tetap hebat. Wayne Rooney, Ryan Giggs dan Paul Scholes kerap kali
mencemaskan kubu Juara Kelab Asia Impian yang berasal dari Malaysia.
Azharuddin duduk di bangku pengadil; menunggu
giliran untuk mengadili perlawanan pada babak kedua. Masa masih lagi panjang
namun dia sudah pun bersedia sepenuhnya.
Peraturan perlawanan akhir kejohanan itu
sememangnya unik. Dua pengadil iaitu seorang dari setiap negara bagi pasukan
atau kelab yang terbabit, diwajibkan bertugas. Tiada had usia. Pengadil dipilih
secara merit. Hal ini cukup menguji kemantapan keadilan kedua-dua pengadil.
Sentimen bangsa dan negara diketepikan.
Azharuddin akur akan perkara itu. Kini dia
memerhatikan gelagat Alex Ferguson. Pengurus Manchester United itu berterusan
memperlekeh Mark Clattenberg yang sedaya upaya mengawal perlawanan. Tidak
berubah juga perangai lelaki itu, fikir Azharuddin.
Beberapa bulan yang lalu Alex Ferguson
mencerca Alan Wiley ketika Red Devils diikat Sunderland dengan jaringan 2-2
dalam perlawanan liga EPL pada 3 Oktober lalu. Dia mendakwa pengadil EPL itu
kurang cergas dan hanya berjalan pada penghujung perlawanan.
“Separuh masa kedua nanti dia akan mendapat
pengajaran yang amat berguna kalau dia berterusan kurang ajar,” bisik
Azharuddin kepada Daniel, 10 tahun, yang juga rakan sekelasnya di SK Tengku
Ampuan Intan, sebuah sekolah pinggir bandar di Hulu Terengganu. Malam ini Daniel
bertindak sebagai pembawa beg pengadil cilik dari Malaysia itu.
Mereka berada di bangku khas tidak jauh dari
tempat duduk kedua-dua pasukan yang sedang beradu kehandalan. Azharuddin
meneguk air galian daripada botol kecil seketika.
“Beranikah kau?" Daniel menarik zip baju
sejuknya.
“Tak perlu sangsi. Kau lihat saja nanti.”
“Okey, aku setuju. Aku percaya…”
“Bagus!"
“Kau perlu tegas dan adil nanti,” kata Daniel
memberi motivasi.
“Mesti! Bukan berdendam, tapi aku perlu
mengubah mentaliti orang macam dia. Kita sudah terlalu lama membiarkan pengadil
bola sepak dibuli dengan teruk. Sudah terlalu lama pengadil dijadikan kambing
hitam. Apa-apa sahaja malang yang menimpa pasukan mereka di padang, pengadillah
puncanya. Itu perlu diperbetul,” balas Azharuddin bersemangat.
“Betul tu… Dilihat dari aspek world viewnya
terhadap pengadil, orang macam Fergie tak boleh dibiarkan menjadi perkasa,”
kata Daniel sambil fikirannya singgah pada isu konflik Alex Ferguson dengan
Persatuan Bola Sepak England.
“Itu sebabnya aku bersetuju dengan Pengerusi
Persatuan Sukan dan Undang-Undang Britain - Mel Goldberg, bahawa Wiley
mempunyai alasan yang kukuh untuk mengheret Fergie ke muka pengadilan atas
tuduhan fitnah,” balas Azharuddin.
Bergegar
Belum sempat Daniel berkata apa-apa kepada
Azharuddin, Stadium Old Trafford tiba-tiba bergegar. Patrice Evra yang berasal
dari Perancis melakukan sepakan akrobatik bagi meletakkan Red Devils satu gol
di depan lawannya setelah teruk menyerap asakan lawan.
Seperti selalunya, Alex Ferguson melonjak
dengan tangan tergenggam bagi meraikan jaringan. Perlawanan menjadi kian
berbahang. Suara teriakan dan nyanyian bersemangat para penyokong Red Devils
menenggelamkan sokongan pasukan berjersi kuning emas.
Azharuddin tidak menunjukkan apa-apa reaksi.
Sekarang dia menjadi manusia yang berkecuali. Buat seketika ini, dia tidak
boleh menyokong Kenyir Bersatu. Dia pengadil yang beretika dan tindakannya
mestilah profesional dalam semua aspek sama ada sebelum, ketika, mahu pun
sesudah bertugas.
Perlawanan memasuki minit ke-43. Red Devils
bertahan dengan hebat. Mereka masih mampu mengekalkan kelebihan satu gol
biarpun diasak bertubi-tubi oleh rangkaian serangan dan jentera midfield Kenyir
Bersatu dari segenap arah.
Pada perlawanan akhir pertama di Stadium
Nasional Bukit Jalil tiga hari lalu kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol.
Keputusan seri tanpa jaringan langsung tidak diduga para peminat bola sepak
seluruh dunia kerana jurang antara dua pasukan itu amat luas.
Sekarang Alex Ferguson boleh bernafas buat
seketika tetapi seandainya pasukan berjersi kuning emas menjaring satu gol dan
perlawanan berakhir begitu, Kenyir Bersatu akan menjulang piala. Tewas dengan
kiraan kelebihan jaringan di tempat lawan sudah tentu amat memeritkan mana-mana
pasukan apatah lagi sebuah kelab gergasi dunia seperti Red Devils.
Fox 40 bersuara nyaring. Penyokong Red Devils
bangun serentak lalu bersorak tanda kelegaan. Mereka menyambut tiupan wisel
Mark Clattenberg dengan satu kepuasan; paling tidak, untuk tempoh 45 minit yang
pertama. Mereka menanti baki 45 minit seterusnya.
Pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang
menuju bilik persalinan. Mereka akan membincangkan strategi permainan separuh
masa kedua.
Dari tengah padang, Mark Clattenberg diiring
dua pembantu pengadil. Dia mengesat peluh di mukanya sambil membawa bola ke
arah bangku pegawai perlawanan.
Azharuddin bangun ke tepi garisan padang
sebagai tanda hormat kepada pengadil berpengalaman itu. Mark Clattenberg
menyerahkan bola kepada Azharuddin selepas mereka bersalaman. Sambil
menyerahkan wiselnya kepada Azharuddin, lelaki budiman itu berkata dalam bahasa
Melayu dengan fasih dan bertatabahasa;
“Ini untuk simpanan saudara, pengadil cilik
dari Malaysia.”
“Terima kasih,” kata Azharuddin, menyambut Fox
40 daripada tangan lelaki itu lalu memasukannya ke dalam saku seluarnya yang
berzip kukuh.
Bersorak
Penonton kedua-dua pasukan bersorak dengan
gamat.
“Di Barat, bakat seperti anda sangat dihargai.
Di negara anda sendiri bagaimana?”
“Semakin dihargai…”
“Bagus! Kembangkan bakat anda. Jangan tunduk
kepada tekanan. Buktikan bahawa pengadil kecil seperti anda mampu mengawal satu
perlawanan berkelas dunia seperti malam ini. Jangan mengalah kepada sesiapapun.
Buat keputusan atas paksi keadilan. Ingat tu,” kata Mark Clattenberg lagi
sebelum berlalu ke bilik persalinan.
Waktu rehat berakhir. Semua pemain kedua-dua
pasukan sudah berada di padang dan mengambil posisi masing-masing. Sorakan
penonton kedua-dua belah pasukan kian gamat dan menggegarkan Stadium Old Trafford
seperti sorakan di medan perang.
Azharuddin meletakkan Fox 40 ke bibirnya. Dia
cukup sedar bahawa baki perlawanan cukup menguji kewibawaannya sebagai pengadil
muda yang berasal dari sebuah negara Asia Tenggara. Dia akan berdepan dengan
cabaran yang cukup besar tapi dia yakin melakukannya.
“Priiit!”
Bola bergolek. Kenyir Bersatu melancarkan
serangan. Baki 45 minit akan menentukan nasib mereka. Abdah Aliff yang
menggantikan Bakri Ibni lincah seperti lipas kudung. Bola diumpan kepada Shukor
Salleh. Shukor melebarkan hantaran ke sebelah kanan. Belum sempat bola sampai
ke kaki Abdullah Ali, Wayne Rooney menyambarnya lalu menyerbu ke kawasan lawan.
Pergerakan mereka pantas tetapi Santokh Singh lebih awal bersedia.
Masa berlalu pantas dan perlawanan kian
rancak. Red Devils memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti. Alex
Ferguson menyepak botol air mineral ke dalam padang. Dia mendakwa kekasaran ke
atas Dimitar Berbatov berlaku dalam kawasan penalti.
Azharuddin menoleh ke arah pengurus Red
Devils. Sekali lagi, kau buat perangai, kau akan pungut kad merah, bisik hati
kecilnya.
Sepakan percuma yang diambil Ryan Giggs sipi
di sebelah kiri gawang lawan. Kenyir Bersatu pula melancarkan serangan. Sepakan
gol oleh R. Arumugam sampai ke kaki Jamal Nasir. Bola dihantar kepada Ghani
Minhad yang kemudiannya menggelecek empat pemain lawan. Di sebelah kirinya
menunggu Supermokh sebaris dengan Rio Ferdinand.
Ghani menunggu Supermokh berundur sedikit.
Sebaik saja rakannya beraksi seperti yang dimahukannya, Ghani menolak bola.
Gerakan 1-2 berlaku. Ghani menyerbu hantaran balas Supermokh dengan satu
gerakan yang memperdayakan pertahanan Red Devils itu. Bola ditolak ke sudut
gawang. Penyokong kuning emas bangkit. Alex Ferguson menyerbu ke arah pengadil
keempat dan membantah hingga beberapa meter ke tengah padang.
Azharuddin meletakkan wisel ke mulutnya.
“Priiit!"
Azharuddin terduduk. Suasana hingar-bingar
hilang tiba-tiba. Baru dia sedar bahawa dia berada di sofa di rumahnya. Di muka
pintu kelihatan ayahnya berdiri dengan lemah dalam pakaian seorang pengadil
bola sepak.
“Mujur kau dengar cakap ayah dan tak ikut ke
padang. Teruk ayah dan dua penjaga garisan kena kejar tadi,” kata ayahnya
sambil memujuk Azharuddin yang belum kering air mata kerana merajuk tidak diajak
ayahnya ke Padang Astaka Kuala Berang.
“Bergaduh lagi pasukan yang abang adili?”
tanya ibu Azharuddin dari dapur.
“Ya! Perlawanan di padang yang satu lagi pun
macam tu”
“Berhentilah menjadi pengadil bola sepak kalau
macam tu,
bang!”
“Jangan! Saya bercakap dengan Mark Clattenberg
tadi. Dia kata, pengadil kena tabah. Tak boleh tunduk kepada tekanan,” kata
Azharuddin sambil teringat pesanan lelaki Inggeris kepadanya dalam mimpinya
sebentar tadi.
“Mark Clattenberg?” Ayah Azharuddin hairan.
Dia ingat-ingat lupa siapa lelaki itu.
“Ya, kami bercakap di Old Trafford tadi. Ini
wisel yang dia beri kepada saya,” balas kanak-kanak itu sambil menunjukkan
wisel Fox 40 kepada ibunya.
Ibu dan ayah Azharuddin terpinga-pinga!
Azharuddin tu saya lah
ReplyDeleteAlias Ismail tu ayah saya
Add facebook saya : Robin Van Azhar