Friday, April 6, 2012

Amalkan Gaya Hidup Sihat

Amalkan Gaya Hidup Sihat – Matikan Sebentar Telefon Pintar Anda


Gajet
Teknologi atau inovasi baru yang dicipta pada dasarnya adalah bertujuan untuk membantu memudahkan urusan kehidupan seharian kita. Teknologi yang meningkat naik ketika ini adalah telefon pintar, dan dijangka akan melebihi jualan PC pada tahun 2015 kelak. Salah satu faktor yang menjadikan telefon pintar (dan juga tablet) sering digunakan adalah kerana ciri – cirinya yang ‘ubiquitous’ atau mudah digunakan di mana – mana sahaja. Siapa yang tidak pernah membawa telefon pintarnya bersama ke dalam tandas sambil menguruskan ‘hajat’ masing – masing? Mungkin sekarang anda sudah tidak lagi beratur panjang untuk membeli tiket wayang dan hanya tersenyum sinis melihat orang lain gigih berusaha untuk mendapatkan tiket secara traditional.

Namun, saya tidak boleh nafikan, sesetengah perkara yang baik itu akan ada buruknya. Begitulah juga mengenai telefon pintar yang kita guna hari demi hari. Siapa sangka telefon pintar yang kita gunakan dengan secara pintarnya telah membuatkan kita semakin tertekan dan penat? Dan siapa sangka yang teknologi memudahkan ini membuatkan kita semakin segan untuk berbicara secara nyata dengan kenalan kita?


Tekanan Perasaan
Sudah ada kajian dilakukan bagi menghubung-kaitkan antara tahap tekanan dengan penggunaan telefon pintar. Hasil kajian mendapati pengguna menjadi tertekan kerana selalu memeriksa akaun email dan juga laman sosial. Bagi yang mereka terlalu obses dengan gajet mereka akan mula mendapat simptom “phantom vibrations” – merasakan yang peranti mereka sedang ‘vibrate’ tetapi perkara itu tidak berlaku.
Kajian yang dijalankan oleh Richard Balding dari Universiti Worcester juga menyatakan bahawa pengguna (dalam kajian berkenaan merujuk kepada pekerja) menggunakan telefon pintar adalah bertujuan untuk memastikan produktiviti mereka sentiasa tinggi, dah akhirnya menyebabkan mereka sentiasa memeriksa email dan laman sosial mereka. Semakin kerap memeriksa, mereka akan menjadi semakin tertekan.


Ada juga situasi dimana kita sebaik sahaja log off dari komputer, mencapai telefon pintar dan log in kembali laman sosial tadi. Kemudian apabila kita hendak tidur, masih lagi membaca pelbagai ceritera di Twitter atau Facebook. Walaupun cerita berkenaan tidak memberi sebarang impak besar yang memerlukan perhatian segera, kita masih cekal menekan butang refresh. Lalu kita berkata kepada diri sendiri “10 minit lagi, janji!”, sejam sudah berlalu masih lagi cekal.


Realiti
Bagaimana pula dengan kesan penggunaan telefon pintar terhadap kehidupan sosial kita seharian? Semakin baikkah? Semakin harmonikah hubungan realiti kita dengan kenalan kita? Atau mungkin kita diam seribu bahasa apabila bertemu.

Sering kali saya dengar ‘pengumuman khidmat masyarakat’ dari stesen radio tempatan, yang menceritakan situasi komunikasi sekumpulan kenalan yang berada di tempat yang sama dan duduk semeja, berbicara menggunakan twitter sebagai medium perantara. Ini adalah tidak sihat.

Ada juga dari kalangan kita, di Twitter, Facebook atau di WhatsApp, petah berbicara mengemukakan pelbagai pendapat namun apabila berada di alam realiti atau secara berhadapan, lidah kelu, hanya hati berbicara. Jika adapun yang berbicara, sesetengah dari kita masih lagi memberi fokus kepada laman sosial masing-masing. Perjumpaan sosial yang sepatutnya ceria dan bermakna menjadi dull kerana ramai yang ‘tertunduk malu’ ketika berbicara.

Akhirnya
Dalam dunia yang semakin cepat ‘kitarannya’, sudah tentu kita berasa tertekan untuk mengejarnya. Kita tidak boleh elak dan kita terpaksa menghadapinya. Siang kita penat menguruskan tanggungjawab sebagai pekerja (dan juga sebagai majikan) dan pada malamnya kita penat membaca pelbagai kisah kehidupan dunia. Waktu yang sepatunya kita berehat digunakan untuk menambah tekanan perasaan. Akhirnya ia akan memberi impak kepada produktiviti kita keesokan hari.

Untuk itu, ayuh, kita amalkan kehidupan yang sihat. Luangkanlah masa yang ada sebaiknya untuk bermesra dengan rakan-rakan. Gunakanlah mulut kita untuk berkata – berkata dan bergelak ketawa. Jangan jadikan telefon pintar sebagai penghalang untuk anda merasai keseronokan berjumpa rakan – rakan.

Sekali sekala, mari kita rasa kembali nikmat beratur panjang dengan orang yang tersayang untuk membeli tiket wayang, dan menikmati pengurusan ‘hajat’ ditandas.

Jangan lupa malam ini, apabila anda sudah mengantuk, letaklah telefon pintar anda itu ditepi, pejamkan mata, dan fikirkan mana yang lebih seronok – senyum seorang diri di hadapan telefon anda atau bergembira bersama rakan menikmati kehidupan? Untuk mencari jawapan ini, jangan pula anda capai kembali telefon pintar anda  .

Semoga kita lebih sihat secara mental dan fizikal.

SUMBER : 
http://amanz.my

No comments:

Post a Comment